28 1 / 2012

Cerita untuk Nil

[Langit mendung. Alam seolah sunyi. Hari hampir senja.]

Assalamualaikum, Nil.

Awak apa khabar? Moga awak dirahmati Allah selalu hendaknya. Maaf sebab dah lama tak lawat awak. Awak tahu kan, hidup sebagai mahasiswa. Tahun akhir pulak tu. Hujung minggu pun ada aktiviti. Ada saja kerja atau tugas yang perlu diselesaikan. Macam biasa, tak ada apa yang saya bawa. Cuma air mawar saja. Awak tak marah kan?

Sebelum datang jumpa awak, saya singgah rumah awak untuk jumpa mak ayah awak. Seronok mereka bila nampak saya. Dan tadi mak awak tengah goreng kuih kegemaran kita, kuih popia. Maaf, banyak juga saya makan. Tadi di rumah awak ada Huzaifah dan Hasilah. Mereka yang bawa saya ke sini. Tu, ada di kereta. Tak lah, bukan mereka benci awak. Bukan mereka taknak jumpa awak. Mereka tak kuat untuk jumpa awak. Motor saya, saya tinggal di rumah awak.

Nil, sebenarnya saya datang ni macam selalulah, banyak yang saya nak cerita kat awak. Harap awak tak bosan. Selalu pun saya memang membosankan dan awak tak pernah jemu dengar cerita saya.

Nil, ada yang saya tak cerita pada awak masa cuti tahun baru yang lepas. Awak tahu, gadis yang saya suka tu? Hmmm. Masa cuti hari tu, saya jumpa kekasih dia. Eh tak. Sebenarnya, kekasih dia yang tegur saya. Tak lah, takkan nak gaduh pulak. Dia pun tak tahu saya suka pada gadis kesayangannya. Kalau tahu, mestilah dia tak tegur saya.

Orangnya baik, Nil. Lepas dah jumpa, baru saya ingat siapa dia. Dulu masa sekolah, selalu jugak tegur saya. Dan kakaknya sebaya dengan saya. Kawan saya jugak. Ada rupa. Ada harta. Ada budi. Keluarganya orang baik-baik. Orang berada. Patutlah. Memang sepadan. Enggang dengan enggang.

Saya? Alah Nil, apa saja yang ada pada saya. Nak bandingkan motor second-hand saya dengan kereta dia? Telefon buruk saya dengan iphone dia? Itu dari yang saya nampak. Yang saya tak nampak? Tapi tak perlu nak buat perbandingan. Awak pun selalu pesan. Orang miskin macam kita tak layak untuk rasa apa-apa. Orang susah macam kita tak layak berharap yang bukan-bukan. Malah untuk jatuh cinta pun.

Jadi Nil, sebab itulah saya lepaskan semuanya. Lepaskan rasa yang entah tumbuh dari jajahan mana ni. Rasa yang tak sedar diri ni. Sekadar muhasabah diri, Nil. Awak jugak yang pesan pipit jangan berangan nak terbang dengan enggang. Kan?

Tapi Nil, saya dah jatuh hati lagi. Teruk kan. Padanlah dulu awak selalu marah saya. Tapi bukanlah saya jatuh suka sebab nak melupakan dia yang saya sudah buang jauh-jauh itu. Bukan. Kalau saya buat macam tu, bermakna saya ni zalim.

Gadis yang ini lain, Nil. Sebetulnya untuk jatuh hati atau jatuh suka pada gadis ni adalah sesuatu yang memalukan. Dia baik, Nil. Kalau tidak pun, dia berusaha untuk menjadi lebih baik. Dan jatuh sukanya saya pada dia membuatkan saya ingin jadi baik juga, dan ingin mendekatkan diri pada Tuhan. Aduh, malu sungguh rasanya untuk ada perasaan suka pada gadis ini, Nil.

Saya tahu, Nil. Kita tak boleh nilai orang dengan sekadar pada kata-katanya saja. Tapi ingat tak ada sebuah ayat yang menyatakan bahawa apabila kita dekat dengan seseorang yang sesuai, maka kita akan rasa selesa dengan apa yang dia lakukan, yang dia katakan, walaupun kita tak pernah kenal lama. Ada tanda-tanda itu. Dan rasa itu Nil, bukan rasa yang dicipta-cipta. Tuhanlah yang mengirim rasa itu.

[Langit semakin mendung. Senja sudah menghampiri. Burung-burung berkicauan.]

Tapi Nil, gadis yang saya sukai itu, adalah gadis yang pernah dilukai oleh seorang lelaki. Awak pun wanita, dan awak pun tahu apa rasanya. Ingat tak lagi bila awak sedar awak dipermainkan oleh orang yang awak sukai, awak menangis semahunya sambil menyumpah dan membenci lelaki tu. Namun kesudahannya apa? Awak masih tak mampu kikis dia dari hati awak. Awak masih berharap pada dia. Dan awak bawa harapan itu berkubur bersama awak. Naluri saya bagitahu, itulah yang sedang ada dalam hati gadis tersebut. Dia masih menyukai lelaki yang pernah melukakan dia.

Tak, Nil. Jangan risau. Saya dah cukup bersedia dan kuat untuk semua ini. Sebab apa pun yang terjadi, kita kena sedar diri. Kita kena lihat diri kita balik. Dan saya sedar saya tak layak. Lelaki yang dia masih cinta itu, lebih baik daripada saya. Daripada apa yang dia pernah ceritakan pada saya.

Nil, bagi saya, untuk jatuh hati pada dia dan kemudian rasa itu membuat saya ingin jadi seseorang yang jauh lebih baik dan lebih mendekati Tuhan adalah sebuah anugerah terindah. Cukuplah dengan itu. Hati ini yang sebenarnya tak layak untuk menyukai dia namun jatuh suka pada dia adalah sesuatu yang sudah cukup baik. Agak melampau kalau saya meminta dia menyukai saya kembali. Nil, tak ada dalam dunia ni peraturan kalau kita suka kat seseorang, seseorang itu kena suka kat kita balik. Saya berpegang pada itu.

Nil, matahari yang selama ini menyinari bumi, tak pernah sekalipun meminta balasan. Dan apa yang terjadi pada hubungan mereka? Sinar mentari itu menyinari seluruh bumi! Bumi pula mendapat manfaat hingga sekarang. Jadi siapa saya, dengan diri yang tak seberapa ini mahu meminta balasan?

Lalu saya cuma mampu mendoakan dia, Nil. Doa sajalah hadiah dari saya buat dia, atas rasa yang dianugerahkan Tuhan ini. Dia gadis yang terlalu baik untuk tidak saya doakan dalam setiap doa saya. Saya harap Tuhan akan lebih mengasihi dia. Akan merawat hatinya. Akan membalut hatinya dengan kasih sayang. Dan saya juga akan berdoa supaya lelaki yang pernah melukai dia itu lekas menyedari bahawa gadis tersebut adalah antara gadis yang teristimewa yang pernah Tuhan jelmakan di bumi. Bukankah gadis yang baik itu adalah gadis yang sentiasa membuat kita mengingati dan mendekati Tuhan? Subhanallah. Saya doakan mereka bersatu di bawah lembayung kasih Tuhan. InshaAllah.

[Gerimis mula turun.]

Kenapa saya tak mendoakan agar Tuhan menjodohkan dia dengan saya? Nil, dalam kitab Ihya ada menyebut, dalam bersahabat, seorang sahabat yang baik itu adalah sahabat yang menginginkan sahabatnya mendapat apa yang dia inginkan. Saya mahu bahagia. Tapi saya tak boleh tamak dengan hanya mahukan dia sebagai pelengkap bahagia saya. Saya juga mahu dia mendapat bahagianya sendiri. Dan jika dia akan bahagia bila bersama dengan lelaki yang dia sukai itu, mengapa tidak saya mendoakan agar mereka kembali bersatu?

Nil, awak juga kena tahu, ketika Abu Musa al-Asyari datang kepada Nabi Muhammad S.A.W dan bertanya apa itu cinta, maka Baginda menjawab cinta itu ialah apabila seseorang bersama dengan orang yang dia dicintai. Lalu cintakah nanti jika dia bersama saya tapi hatinya masih berharap pada lelaki itu? Tak, Nil. Saya tak akan jadi sekejam itu.

[Gerimis bertukar renyai.]

Cukuplah setakat ini, Nil. Langit pun mula menangis. Mungkin tak mahu melihat saya berlama di sini dan menitiskan air mata. Tak, Nil. Saya tak sedih dengan apa yang jadi. Saya cuma terharu dengan segala anugerah Tuhan dan cara yang Dia lakukan untuk menguatkan hamba-Nya.

Selamat tinggal, Nil. Bersemadilah dengan tenang. Moga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas awak. Lain kali bila saya balik, saya datang melawat awak lagi. Sampai waktu itu, saya akan mendoakan awak dari jauh saja.

[Air tahlil disiram ke atas pusara. Rumput-rumput dan daun-daun yang menyemakkan pandangan dikuis dan dibuang jauh. Batu nisan dipegang dan dikucup. Langkah semakin jauh, meninggalkan pusara yang sepi…]

Permalink 24 notes